Wednesday 29 October 2014

KEPENTINGAN LATIHAN INDUSTRI

1.1.4 Kepentingan Latihan Industri


Latihan Industri ini adalah merupakan salah satu latihan dalam membentuk jati diri para pelajar agar lebih didedahkan dengan sifat - sifat seperti bertanggungjawab dalam melaksanakan sesuatu kerja dan patuh terhadap setiap arahan yang telah diberikan. Dengan berbekalkan pengalaman-pengalaman tentang cara – cara bekerja semasa menjalani latihan industri, para pelajar dapat menjadikan pengalaman-pengalaman tersebut sebagai salah satu aset yang amat berharga ketika ingin mencari atau mendapatkan sesuatu pekerjaan pada masa akan datang kelak. Pengalaman – pengalaman yang telah diperolehi semasa menjalani latihan industri itu, bolehlah dijadikan panduan dan ianya juga boleh dijadikan sebagai suatu bahan bukti untuk kita mencari dan mendapatkan kerja yang baik..


Melalui latihan industri ini, para pelajar dapat menghindarkan perasaan kekok apabila menjalankan tugas seharian sewaktu memasuki alam pekerjaan yang sebenar kerana para pelajar telah dilatih dan diajar untuk menunaikan tanggungjawab mereka apabila menjalani latihan industri di badan syarikat masing - masing. Dengan wujudnya latihan industri ini, para pelajar dapat meluaskan minda dan bersikap lebih terbuka serta matang berhubung dengan persekitaran alam pekerjaan yang sebenar melalui penggunaan secara maksima ke atas setiap pengalaman dan pengajaran yang pernah dilalui dan ditimba oleh para pelajar. Selain itu, pelajar – pelajar juga dapat mencari inisiatif sendiri bagi menyelesaikan sesuatu masalah yang mungkin wujud semasa di alam pekerjaan yang sebenar. Seterusnya, mereka dapat memanipulasikan keadaan sekeliling hanya dengan menggunakan pengalaman sewaktu mereka menjalani latihan industri tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain.


Selain daripada memikul tanggungjawab yang diberikan oleh majikan semasa menjalani latihan industri, para pelajar juga memikul satu lagi tanggunjawab iaitu tanggungjawab dalam menjaga maruah dan nama baik politeknik masing - masing dengan menonjolkan diri sebagai seorang pelajar yang berdedikasi dan berkualiti dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan sempurna, cepat dan tepat. Selain itu, para pelajar juga dapat mempelajari cara-cara untuk berinteraksi atau berkomunikasi dengan setiap kakitangan syarikat dan pelanggan dalam usaha untuk memajukan syarikat dan untuk mempertingkatkan kemajuan diri sendiri. Melalui latihan industri ini juga, para pelajar dapat menyesuaikan diri dengan alam persekitaran dan budaya pekerjaan yang wujud di dalam sesebuah syarikat tersebut. Disamping itu, kita juga dapat melihat tingkahlaku dan cara kerja setiap kakitangan yang positif dan negatif dalam melaksanakan dan menyempurnakan sesuatu tugas yang diamanahkan kepada mereka.


Justeru itu, latihan industri ini juga secara tidak langsung dapat membina dan mengubah personaliti serta imej seseorang pelajar tersebut menjadi seseorang yang amat berkaliber, berkeyakinan tinggi serta dapat membantu masyarakat terutamanya dalam meningkatkan kesedaran, keupayaan dan taraf hidup masyarakat sekeliling.


Justeru itu, latihan industri ini bukanlah diwujudkan semata-mata untuk memenuhi syarat -syarat untuk lulus bagi mendapatkan sekeping sijil atau diploma, bahkan ianya juga dapat digunakan dalam melahirkan seseorang pelajar yang amat berkualiti, efisyen dan memenuhi keperluan industri serta berguna kepada masyarakat dan negara kelak.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.